Sombongnya ! Tapi Caring Gila ! - Bab 18

Adat hidup di kampung, jika ada kenduri-kendara pasti ramai yang datang menolong. Tidak kira perempuan mahupun lelaki, semuanya ringan tulang membantu apa yang patut. Mak cik Sarimah tidak menang tangan melayan tetamu. Sofia dan Shima tidak dibenarkan untuk keluar dari bilik  sehinggalah ketibaan rombongan sebelah lelaki datang. Pak cik Dollah iaitu bapa saudara Sofia merangkap ketua kampung ini yang akan mewakilkan bagi pihak Sofia. Maklumlah, Sofia sudah kematian ayahnya. Jadi Pak cik Dollah la yang harus mewakilkannya nanti.

     “Semua dah siap?” mak cik Sarimah memasuki ke dalam bilik anak sulungnya itu. Kelihatan Sofia dan Shima sedang membuat final touch-up untuk solekan.

     “Dah mak. Ala mak, kenapa perlu make-up semua bagai ni. Rimas la Fia. Tengok ni, terasa macam ada gam saja yang melekat dekat muka.” Sofia membelek-belek wajahnya di cermin selepas selesai disolek oleh kak Zana. Hasil tangannya memang sangat cantik. Wajah Sofia kini sudah seperti anak patung sahaja. Sangat cantik dan comel.

     “Kamu ni Fia, bukan hari-hari kamu make-up macam ni. Biarkan je lah lagipun cantik sangat anak mak hari ni. Mak gembira sangat sebab hari ni emak dapat lihat anak mak dah sempurna semuanya. Mak harap perubahan kamu ini akan membuka lembaran baru buat hidupmu nak. Tak sangka mak bahawa anak mak akan secantik dan secomel bila pakai macam ni.” Puji mak cik Sarimah. Mengalir air mata terharunya. Terus tubuh anaknya dipeluk dan dicium dahi anaknya dengan penuh kasih. ‘Dah nak jadi milik orang anak mak ni.’

     “Sofia, kau jangan menangis banyak sangat tau. Nanti kesian dekat kak Zana penat-penat make-up kau boleh pulak kau buat drama air mata.” Usik Shima selepas pelukan Sofia dan mak cik Sarimah terlerai.

     “Ye lah. Aku menangis sikit-sikit je.” Kata Sofia. Ketawa mereka berempat di dalam bilik itu. Kak Zana meminta diri untuk keluar dari bilik itu kerana tugasnya sudah selesai. Kini tinggallah mereka bertiga.

     “Sarimah, rombongan pihak lelaki dah sampai. Jom lah kita tuan rumah ni pergi sambut dekat luar.” Ujar mak cik Siah kepada adiknya itu. Jantung Sofia tak usah dikata. Memang berdebar-debar. Kalau boleh sampai nak terkeluar jantung tu. Sabar Sofia, kau baru nak bertunang. Bukan kahwin lagi. Kau simpan dulu debar kau ni untuk kahwin nanti. Kang terlebih debar dekat sini pengsan dibuatnya nanti. Sabar… tarik nafas…lepas…tarik… lepas…

     Mak cik Sarimah sudah berlalu keluar. Sempat dicium dahi anaknya sebelum keluar. Shima hanya tersengih-sengih melihat sahabatnya itu. Dia sudah berjalan ke arah tingkap. Melopong mulutnya seketika.

     “Gila kau Fia! Tengok tu, rombongan dari datin Haina gila ramai. Tiga biji kereta Alphard tu! Tapi ada satu kereta BMW warna putih. Betul-betul buat aku rasa nak pengsan la Fia. Muat ke rumah kau ni nanti? Kang roboh aku tak tau mana la kau nak tidur malam ni.” Shima masih ralit memerhati rombongan yang baru tiba itu.

     “Tak nak la aku tengok. Aku yang dekat sini pun dah berdebar-debar. Kau nak suruh aku tengok lagi la aku tak sanggup. Silap-silap boleh terkeluar jantung aku nanti.” Sofia mengelap peluh di dahinya dengan tisu. ‘apesal yang kau gelabah gila ayam ni Sofia? Sabar!’

     Tidak lama selepas itu, kedegaran suara yang riuh di ruang tamu. Pasti suara dari pihak rombongan dan juga tetamu yang berkunjung. Dato Fazli dan Datin Haina senang hati dengan sambutan yang diterima dari keluarga Sofia. Farish dan Fahmi bersalaman dengan tetamu lelaki yang ada di rumah itu dan mengambil tempat duduk di belakang orang tuanya.

     Setelah mereka saling kenal-mengenali dan bertanya khabar, kini sudah tiba lah masa yang dinanti-nantikan untuk memulakan majlis.

     “Kalau macam tu, boleh la kita mula sekarang. Kita berpantun lah ya. Biar orang kata mengikut adab dan keturunan. Baru seronok dan meriah sikit.” Cadang dato Fazli sambil disambut ketawa para tetamu yang hadir.

     “Kalau macam tu lagi bagus dato. Dari semalam lagi saya standby siap-siap pantun ni. Kalau pantun tu kena dengan gayanya, insha-Allah tak merana la bakal tuan CEO syarikat dato ni nanti.” Seloroh Pak Dollah. Tetamu yang hadir juga turut ketawa. Fahmi yang berada di belakang mamanya hanya senyum sahaja. Dari tadi lagi dia menjadi bahan usikan.

     “Insha-Allah kena dengan gaya nanti. Saya dah lama tak practice berpantun ni. Harap-harap kalau pantun saya ni menjadi dan kaw, boleh la kut pak Dollah lepaskan si bunga untuk kumbang saya yang seorang ni.” Ujar Dato Fazli sambil ketawa. Datin Haina yang berada disebelahnya juga turut ketawa termasuk mak cik Sarimah yang duduk di sebelah abangnya, pak Dollah itu.

     “Insha-Allah. Sama-sama kita mengkaw kan pantun kita lah ya?” pak Dollah berkata kepada dato Fazli yang sudah bersiap sedia.

     “Kalau macam tu mari kita mulai lah. Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum semua hadirin dan hadirat yang dikasihi…” dato Fazli memulakan majlis. Tetamu yang ada di dalam rumah itu menjawab salam dato Fazli dengan serentak.

     “Akar memanjat pohon ara,
       Nampaknya cantik berseri laman,
       Besarnya hajat tidak terkira
       Hendak memetik bunga ditaman.”


     Pantun dari dato Fazli disambut dengan suara tetamu yang hadir. ‘pandai juga orang bandar ni berpantun ya.’


     Pak Dollah tersenyum lalu menjawab,

    
     “Nampak cantik berseri laman,
       Tempat bertandang beruk dan kera,
       Hendak menyunting bunga ditaman,
       Sudahkan cukup syarat dan kira?”


     “Pergi mengail ikan gelama,
       Laut gelombang serta gelora,
       Niat baik sudah diterima,
       Nak tengok dulu muda kah tua?”


     Ternyata pantun dari pak Dollah menggeletek para tetamu yang hadir. Ramai-ramai ketawa dengan kuat. Dato Fazli juga turut ketawa. Setelah ketawa para hidirin reda, dato Fazli menjawab pantun pak Dollah pula.


     “Bunga cantik hiasan taman,
       Bunga sena penghias bicara,
       Tentulah pemuda yang jadi idaman,
       Orang tua, pengatur bicara.”

Sambung Dato Fazli lagi,


     “Kalau padi katakan padi,
       Tidaklah kami tertampi-tampi,
       Kalau sudi katakan sudi,
       Tidaklah kami ternanti-nanti.”


     Pantun dari dato Fazli juga menggeletek hati para tetamu. Suara ketawa riuh kedengaran di dalam rumah itu. Mak cik Sarimah juga sedari tadi asyik ketawa sahaja. Nasib baiklah bakal besannya ini tidak sombong dan sangat baik hati.


     Pak Dollah terus menyambung pantun terakhirnya,


     “Pohon cempedak di tepi titi,
       Pohon nangka buah sebiji,
       Kalau sudah berkenan di hati,
       Marilah kita mengikat janji.”

     Serentak dengan itu, semua yang hadir mengucapkan rasa syukur dan. Akhirnya, pak Dollah menamatkan juga pantunnya dengan keizinannya.

     “ Alhamdulillah, Kalau macam tu, kami minta izin pak Dollah untuk membawa keluar bakal tunang dan pengantin perempuan untuk isteri saya menyarungkan cincin tanda pertunangan diikat secara rasmi. Boleh pak Dollah?” tanya dato Fazli. Datin Haina sudah bersiap sedia membawa keluar kotak cincin yang dibeli bersama Fahmi beberapa hari yang lalu.


     “Insha-Allah kita keluarkan. Sarimah, Siah tolong bawa keluar bakal tunang dan pengantin perempuan dekat pelamin depan ni. Pihak lelaki dah bersedia nak sarung cincin.” Kata pak Dollah. Yang lain juga turut mengangguk kepala tanda setuju.


     Terus mak cik Sarimah dan mak cik Siah berlalu kebilik untuk memanggil Sofia. Seketika kemudian, terlopong semua tetamu yang hadir apabila melihat Sofia keluar yang diikuti Shima dibelakang. Tidak percaya mereka semua bahawa itu adalah Ariana Sofia yang mereka kenal sebelum ini. Ramai suara yang berbisik memuji kejelitaan Sofia. Fahmi bagaikan terpaku melihat kejelitaan yang dimiliki Sofia. Hatinya lagi tenang apabila melihat perubahan yang dipakai oleh Sofia.

     Dengan penuh sopan Sofia berjalan dan melabuhkan punggung di atas pelamin. Sofia sangat cantik mengenakan baju kurung berkain duyung berwarna peach. Buat kali pertamanya dia memakai selendang yang juga berwarna peach di atas kepala. Dihiasi pula dengan kain kerudung lace warna sama yang dihiasi dengan lace berwarna krim. Dia sudah bertekad, dia akan mengubah imejnya selepas ini. Dia akan bertudung dan tidak akan lagi memakai pakaian istimewanya iaitu t-shirt dan jeans. Tapi sekali sekala boleh kut….? …..


     Datin Haina juga turut duduk diatas pelamin untuk menyarung cincin. Seorang photographer yang diupah khas oleh Datin Haina sedia mengambil gambar. Sebentuk cincin berwarna silver yang bertahtakan berlian diatasnya disarungkan dijari manis Sofia. Kini, sudah rasmi Ariana Sofia Amiruddin menjadi tunang kepada Fahmi Hazrin Fazli.

    
     Datin Haina terus memeluk dan mencium dahi bakal menantunya itu dengan penuh kasih. Tidak sabar rasanya untuk bermenantukan Sofia. Datin Haina terus berjalan ke arah mak cik Sarimah yang sedang mengelap air mata gembira dan memeluknya. Alhamdulillah, tidak lama lagi berbesan lah mereka.


     Orang ramai sudah mula menjamu selera di khemah kecil yang diletakkan di luar. Sofia masih lagi berada di atas pelamin sambil bergambar dengan rakan-rakannya dan saudara dari sebelah keluarganya mahupun dari keluarga Fahmi. Shima dan Reen antara insan yang paling banyak bergambar dengan Sofia. Dah kejang rasanya pipi Sofia gara-gara senyum tidak henti kerana juru gambar ini mengambil gambar tanpa henti. Ada sekali Sofia hanya membuat muka bersahaja tanpa senyuman. ‘entah elok ke tidak gambar aku dalam gambar tu nanti. Jangan macam muka hulk tengah lapar sudahhhh’


     Kini, mereka semua meminta Fahmi pula untuk bergambar dengan Sofia. Biarlah mereka berdua pula yang merakamkan potret yang manis. Sofia mengenakan pakaian berwarna peach manakala Fahmi pula memakai kemeja kosong berwarna merah berlengan panjang yang dipandankan dengan seluar jeans warna hitam.


      Tanpa kekok, Fahmi bergambar dengan sempurna kerana pengalamannya menjadi seorang model majalah semasa menuntut di United Kingdom tidak memberi apa-apa masalah kepadanya. Pelbagai gaya yang melucukan telah mencuit hati saudara mara mereka yang melihatnya. Setiap gambar Fahmi memberikan senyuman yang manis. Begitu juga Sofia. Mula-mulanya Sofia kekok namun apabila lama-kelamaan rasa macam seronok pula. Antara salah satu shoot yang mencuit hati apabila Fahmi membuat muka comel sambil menghulurkan bunga tangan kepada Sofia dan Sofia pula membuat gaya sombong sambil berpeluk tubuh. Sangat comel aksi dua orang itu. Saudara yang melihatnya riuh ketawa.


     Setelah puas bergambar di hadapan pelamin, mereka perlu mengambil gambar di luar pula bagi  outdoor photoshoot. Ini memang pakej yang wajib diambil bagi pasangan yang bertunang mahupun yang berkahwin. Gambarnya nanti sudah pasti sangat cantik apabila disiapkan di dalam album gambar.


     Mereka memilih untuk mengambil gambar di sebuah tasik yang terdapat di Taiping itu. Props untuk bergambar sudah disediakan jadi ianya menjadi moment yang sangat indah bagi pasangan ini kerana beraksi dihadapan kamera dengan penuh ceria.


     Setelah satu jam mengambil masa, mereka memutuskan untuk pulang ke rumah sahaja. Badan masing-masing sudah keletihan. Semasa berada di dalam kereta, mereka berdua hanya diam membisu. Tidak ada sepatah perkataan pun yang keluar dari mulut masing-masing. Haih, tadi masa bergambar bukan main romantik, manja dengan aksi comel tapi bila dalam kereta macam tak kenal!

     “Jom pergi makan.” Fahmi bersuara tiba-tiba.


     Gila ! aku dengan pakai baju yang macam dah separuh pengantin ni nak diajaknya pergi makan? Sewel ke apa mamat ni?’  “Err, saya pakai macam ni. Malu la nak pergi.” Sofia tergagap-gagap menutur kan kata-katanya.


     “Apa yang nak malunya? Cantik apa pakai macam ni.” Dalam diam Fahmi memuji Sofia membuatkan Sofia kembang semangkuk!


     ‘Oh lala! Ya tuhan! Adakah aku tersalah dengar? Dia kata aku cantik? Yeaapppyy!! Syok nya aku bila dapat pujian daripada makhluk sebelah aku ni!! Tapi kejap! Dia puji aku cantik ke baju aku yang cantik? Hmhh, confius seketika!’


     “Hah?” hanya itu sahaja yang keluar dari mulut Sofia menyebabkan Fahmi mengerlingnya sekilas.


     “Saya kata awak cantik pakai macam tu.” Ujarnya lagi. Kali ni suara bertukar dengan nada yang lembut sedikit.


     ‘Aduhaii! Satu perubahan lagi ni mak oi! Dia dah tak panggil aku kau la ! dah bertukar jadi saya awak. Oh tuhan! Kenapalah indah sangat aku mendengar nya? Alahaiii… syahdunya…’


     Sofia hanya menganggukkan kepalanya. Entah nampak ke tidak dek Fahmi lantaklah! Terus Sofia membuka kain kerudung lace di atas kepalanya. Kini hanya tinggal selendangnya sahaja. Dilipatkan kain kerudung lace itu lalu meletakkannya di kerusi belakang.


     “Dekat kedai makan depan sana tu orang selalu ramai kan?” tanya Fahmi.


     ‘Kedai makan ikan bakar? Uish! Mana dia tahu ni kedai tu selalu ramai orang?’ “Ha’aa. Tapi mana awak tahu? Dah pernah datang sini ke?” soal Sofia pula.


     Fahmi hanyam senyum kecil sahaja. Diteruskan perjalanannya ke kedai makan yang kurang ramai pelanggan. Bagi Fahmi, dia tidak suka berada dalam keadaan tersesak-sesak.


     Selepas memutuskan untuk pergi ke salah sebuah kedai yang terdapat di bandar itu, mereka terus membuat pesanan untuk makan tengah hari. Senyuman manis diberikan kepada pelayan restoran yang mengambil pesanan.


     ‘Lima belas minit dah. Makanan tak sampai-sampai lagi. Lambatnya!’ bebel Sofia dalam hati. Dia memerhati keadaan dalam kedai itu. Cantik! Hiasannya seperti rumah kayu sahaja. Sangat tenang dan mendamaikan. Inilah konsep yang sesuai digunakan untuk setiap kedai kerana melihat dalamannya sahaja sudah membuatkan hati yang tadi gelisah kini sudah tenang.


     Fahmi masih lagi tekun memandang skrin telefon pintar canggihnya. Tidak kuasa hendak berbual dengan mamat tu! Asyik menyombong saja kerjanya. Haih la nasib…


     Setelah pesanan sudah sampai, mereka menjamu selera tanpa bercakap sepatah pun. Seksanya kalau macam ni! Sabar aje lah ! Fahmi tiba-tiba bangun dan menuju ke kaunter bayaran. Pembayaran sudah dibuat, mereka berdua bertolak untuk pulang ke rumah.


     “Amboi, pergi mana pasangan tunang ni? Dari pagi tadi lagi sampai la tengah hari ni baru balik. Seronoknya jalan-jalan berdua.” Usik Datin Haina.


     Farish sudah ketawa melihat keadaan itu. Sofia pula merah muka menahan malu. Fahmi hanya senyum manis sahaja kepada mamanya itu.


     ‘Ceh! Boleh pula pasangan ni keluar dating. Macam mana diorang dating eh? Sorang ego sorang lagi tak betul!’ fikir Shima dalam hati.


     “Dato, jom lah saya tunjuk rumah yang akan dato menginap malam ni. Dekat saja dato, depan tu sahaja.” Pelawa pak Dollah kepada dato Fazli dan Datin Haina sekeluarga.


     Mereka dari pihak rombongan lelaki sudah bergerak ke arah kereta. Pak Dollah mendahului mereka dengan menaiki motorsikalnya. Sofia terus menyalin pakaian dan memakai kain batik bersama baju t-shirt untuk mencuci pinggan mangkuk yang bertimbun di dalam besen. Alahai, banyaknya!

     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 
This Blog Are Protected By Me . DO NOT OPEN MY PAGESOURCE . Full Designed by - Asma Dians-
...